Syok Kahwin Muda

[tweetmeme https://adamfaiz.wordpress.com%5D

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita budak perempuan 10 tahun yang dinikahkan oleh bapa sendiri  dengan kawannya. Tentu bagi budak tu kenyataan “syok kahwin muda” tidak sesuai digunakan sebab dia masih lagi belum puas  menikmati zaman kanak-kanaknya. Pelik bila difikirkan bagaimana seorang bapa tergamak berbuat begitu semata-mata kerana ingin anaknya masuk syurga. Mungkin ini kes “tersalah belajar” atau taksub yang berlebihan.

Dalam hal kahwin muda ni, ramai juga remaja Malaysia yang lari ke Indonesia atau negara lain untuk menikahi kekasih mereka. Kebanyakannya kemudian “tersedar” dari lamunan apabila kehidupan  tidak segembira seperti yang dijangka atau dibayangkan sewaktu sedang asyik mahsyuk bercinta. Kenyataanya, hidup memang begitu. Ada masa susah ada masa senang. Kini, barulah ibubapa dan keluarga dicari untuk menyelamatkan keadaan.

Hari ini kisah seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun dari Kedah yang lari bersama kekasihnya, disiarkan diakhbar. Ada yang nampak kelibat pasangan ini di Langkawi. Mereka dipercayai telah berkahwin dan ingin memulakan kehidupan baru. Harapan si ibu semoga anak perempuannya pulang ke rumah dan dia sanggup menerima sekalipun anaknya telah berkahwin. Apa yang aku kesalkan ialah cara remaja sekarang mengambil jalan mudah dengan membelakangkan keluarga demi mengejar kepentingan sendiri. Budak perempuan yang juga bekas pelajar cemerlang pada UPSR 2007 ini juga nampaknya tidak belajar dari kesilapan yang dilakukan oleh remaja sebelumnya. Dia berkahwin di usia muda dengan kekasih yang berumur 19 tahun. Aku tiada niat memperkecilkan sesiapa tetapi bagaimankah agaknya seorang suami berumur 19 tahun akan menyara keluarganya kelak? Sedarkah remaja kita tentang jumlah pasangan muda yang bercerai kurang 2 tahun selepas perkahwinan amat tinggi terutamanya di Asia?

Semoga remaja kita lebih bertanggungjawab dan lebih bijak dalam mengatur perancangan untuk masa depan. Bila cukup umur, dapat restu keluarga, dan sedikit wang untuk memulakan kehidupan, kahwinlah kerana itu memang dituntut oleh Islam. Selebihnya berusahalah untuk membina kehidupan kerana tiada yang MUDAH di dunia ini dan hakikat kehidupan memang ada pasang surutnya.

Comments are closed.