5 Cara Untuk Berjaya di Syarikat Swasta

[tweetmeme https://adamfaiz.wordpress.com%5D

Kali ini aku ingin berkongsi mengenai pengalaman bekerja di syarikat swasta. Banyak cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi untuk berjaya. Persaingan adalah perkara paling asas di samping faktor-faktor lain yang menentukan sejauh mana kerjaya anda akan berkembang.

1. Manage your boss
Anda harus mengetahui kualiti atau ciri-ciri yang boss anda sukai. Misalnya jika boss anda seorang yang tegas tentang masa maka anda haruslah memastikan yang anda tidak lewat dalam menyiapkan kerja, menghadiri mesyuarat dan yang paling penting sekali, datang kerja! Dari segi expectation, anda juga harus ketahui apa yang boss mahukan. Jika boss sukakan cadangan, maka pastikan di dalam kertas kerja, atau perbincangan anda utarakan pendapat yang bernas beserta cadangan. Tapi pastikan anda telah membuat homework anda dengan menyelidik di Internet, atau merujuk kepada bahan-bahan lain seperti buku dan majalah. Anda juga boleh meminta pendapat rakan anda yang bekerja di syarikat lain yang arif mengenai perkara tersebut.

2. Make friends
Ada pepatah mengatakan “no man is an island” yang bermaksud kita tidak boleh hidup sendirian. Prinsip harmoni ini haruslah diamalkan ditempat kerja. Berbaiklah dengan semua orang di tempat kerja walaupun level mereka berlainan. Ini memudahkan anda untuk melaksanakan tugas. Misalnya jika anda mempunyai hubungan yang baik dengan dispatch clerk, maka senanglah untuk anda meminta pertolongannya untuk menghantar dokumen penting dengan cepat.

Hubungan yang baik juga membolehkan anda mempelajari tentang perkara atau tugasan lain di pejabat anda. Anda mungkin bekerja di Sales Department, tetapi anda tidak memahami apa yang dilakukan oleh rakan anda di Operation Department. Melalui hubungan dengan semua orang, anda akan mengetahui tugas dan peranan setiap orang untuk memberi keuntungan kepada syarikat. Ia juga boleh menjadikan anda “jack of all trade” yang tahu serba serbi mengenai syarikat tempat anda bekerja. Bagaimana agaknya reputasi anda di mata boss? Tentunya lebih baik dan peluang kenaikan pangkat akan terbuka luas untuk anda.

Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu dielakkan ditempat kerja ialah skandal dengan pekerja lain! Hubungan yang terlalu rapat terutama dengan rakan berlainan jantina mungkin melarat dan menjadi lebih intim. Jika tidak dikawal ianya akan menjadi buah mulut di pejabat seterusnya menjejaskan kerja anda. Bagi yang sudah berumahtangga, kesannnya akan lebih buruk, jadi beringatlah.

3. Work Smart
Buat kerja anda dengan bijak dengan mengikut prioriti atau kepentingan sesuatu tugas. Sebelum akhir waktu pejabat, senaraikan tugas yang perlu dilaksanakan keesokan hari. Bila sampai di pejabat di awal pagi, semak semula senarai tersebut dan buatlah mengikut keutamaan yang telah ditetapkan. Ada yang mempunya pendapat berlainan mengenai istilah work smart. Pada mereka, anda tidak perlu bertungkus lumus untuk bekerja sebaliknya banyak mengabiskan masa dengan mengipas boss. Memang cara ini terbukti berkesan kerana aku sendiri pernah melihat ramai yang berjaya. Tapi kita harus ingat bahawa kita mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga. Adilkah jika sekiranya kita yang asyik membodek mendapat bonus yang banyak sedangkan rakan kita yang sibuk bekerja tidak mendapat ganjaran yang setimpal? Bak kata Nabil, “lu pikirlah sendiri”. Sebolehnya elakkan politik pejabat kerana ianya akan mewujudkan gang atau puak berlainan pendapat yang akan menjejaskan hubungan antara rakan sekerja.

4. Go with the flow
Ini umpama pepatah “masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek”. Janganlah terlalu asyik bekerja sehingga tidak menghiraukan orang lain. Apabila pejabat menganjurkan program seperti Hari Keluarga, Sukan, atau Kem Bina Semangat, pastikan anda menyertainya. Selain merapatkan hubungan dengan rakan lain, anda juga dapat mempamerkan kebolehan anda dan boss amat suka kepada pekerja yang berkebolehan! Tapi ini tidak bermakna anda harus menyertai semua aktiviti termasuk yang tidak sesuai dengan budaya dan agama kita, Contohnya jika boss anda seorang bukan Islam dan suka ke kelab malam setiap hujung minggu sambil minum arak, anda seharusnya menolak pelawaan dengan baik. Memang godaan pelayan kelab malam itu terlalu sukar untuk dilepaskan. Inilah antara sebab mengapa ramai pekerja Melayu yang terjebak dalam aktiviti sebegini semata-mata ingin mendapat perhatian dari boss dan berjoli. Jika ini diamalkan maka rezeki yang kita perolehi mungkin tidak bersih dan akan memudaratkan diri atau keluarga kita kelak.

5. Berdoa kepada Allah
Sebagai seorang Islam pastikan anda berdoa agar dimurahkan rezeki dan di beri kemudahan di tempat kerja. Laksanakan tugas anda dengan jujur dan amanah. Jangan terlalu bimbang sekiranya anda tidak mendapat kenaikan pangkat berbanding rakan yang menggunakan jalan pintas seperti yang disebut di atas. Kita harus percaya bahawa rezeki Allah itu luas dan Allah itu maha adil. Lagipun, kejayaan bukanlah diukur melalui kemewahan wang ringgit dan harta semata-mata. Seimbangkan antara kerjaya dan keluarga kerana mereka juga amat penting bagi anda. Kekayaan tidak menjamin kerukunan rumahtangga atau kesihatan yang baik. Sebaliknya jalani kehidupan dengan sihat, gembira dan bersyukur kerana itulah erti kejayaan sebenar.