Kisah Sang Buaya Port Dickson

Port Dickson sudah terkenal sejak sekian lama sebagai tempat berkelah bersama keluarga dan menjadi tumpuan di hujung minggu dan cuti umum. Semalam ada berita yang menggemparkan bila sekumpulan pemancing menjumpai bangkai buaya tembaga seberat 1 tan terapung di Teluk Kemang.

Buaya Teluk Kemang

-gambar dari Utusan Malaysia-

Ini bukan cerita baru kerana dari tahun lepas lagi sudah dilaporkan tentang kelibat buaya berlegar-legar di kawasan perairan Port Dickson berhampiran rumah api Tangjung Tuan. Gambar sang bedal sedang bersantai turut disiarkan di media. Aku sebenarnya bimbangkan keselamatan ahli keluarga kerana Port Dickson memang tempat percutian yang sering aku kunjungi memandangkan ada kemudahan apartment syarikat yang disediakan di sana. Tapi apabila mendengar berita tentang kelibat buaya ni, aku hadkan anak-anak untuk hanya bermain di swimming pool sahaja. Kalau mereka ingin bermain di tepi pantai, aku tak benarkan. Takut perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik beringat sebelum kena.

Awal tahun ini pula pengunjung Port Dickson melaporkan tentang kelibat sang buaya di situ. Lebih menakutkan apabila seorang pemuda telah digigit oleh binatang yang tidak diketahui jenisnya. Kesan gigitan menyerupai gigitan buaya tetapi ada pihak yang menafikan.  Dengan penemuan buaya 1 tan ini, masihkan ada pihak yang mahu menafikan kewujudan buaya air masin yang mungkin akan membawa padah kepada pengujung Port Dickson yang malang?

TELUK KEMANG 2 Ogos – Memang benar ada buaya di Port Dickson!

Buktinya adalah penemuan bangkai seekor buaya tembaga berukuran 5.48 meter dan ukur lilit 2.43 meter dengan berat lebih kurang satu tan di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas, Port Dickson di sini hari ini.

Penemuan itu menggemparkan penduduk sekitar yang sebelum ini hanya mendengar khabar angin mengenai kehadiran reptilia itu di pantai berkenaan sehingga bangkai haiwan itu ditemui terdampar berhampiran Kolej Uniti Pasir Panjang kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini.

Kisah buaya di Port Dickson pernah menjadi topik hangat pada Januari lalu apabila seorang pemuda dari Melaka mendakwa kakinya digigit oleh reptilia itu sehingga cedera.

Bagaimanapun, kisah itu dinafikan Jabatan Perikanan negeri serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) selain kerajaan negeri.

Penduduk yang menemui bangkai buaya tembaga itu, Suhaimi Salim, 35, berkata, ketika itu dia memancing bersama-sama rakannya di lokasi berkenaan.

”Pada awalnya saya nampak satu objek seperti sebatang kayu besar dihanyutkan arus dan terapung di permukaan laut tetapi selepas dihampiri kami terkejut apabila objek itu adalah bangkai seekor buaya yang besar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia bersama beberapa rakan yang lain menarik bangkai buaya itu ke pantai selepas yakin reptilia berkenaan sudah tidak bernyawa lagi sebelum menghubungi anggota polis dan orang ramai untuk mengesahkan penemuan bangkai berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi kejadian bertukar menjadi ‘pesta’ apabila orang ramai mula berkumpul untuk menyaksikan bangkai haiwan itu dari dekat.

Kata mereka, selama tinggal di Port Dickson dan berkunjung ke Tanjung Agas, ini adalah kali pertama reptilia sebesar itu ditemui oleh penduduk.

Bagi Mohd. Farez Mohd. Said, 19, dia percaya reptilia berkenaan datang dari kawasan paya bakau Sungai Linggi dan berada di laut untuk mencari ikan di pesisir pantai.

”Kami memang biasa memancing di situ dan penemuan bangkai buaya ini menakutkan kerana ia besar,” katanya.

Bagi Azay Mohd. Safri, 30, pula, dia tidak menduga ada buaya ‘tersesat’ di laut dan ia boleh mengancam nyawa manusia lebih-lebih lagi pada waktu malam dan ketika reptilia berkenaan kelaparan.

”Tentulah kami terkejut kerana ada buaya di laut Port Dickson,” ujarnya.

Dalam pada itu Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Zafifi Ramli berkata, pihaknya akan menyiasat kewujudan bangkai buaya di Tanjung Agas itu dan punca kematian haiwan itu.

”Kita akan menjalankan kajian terhadap bangkai buaya itu dengan bantuan kakitangan Zoo Melaka,” ujarnya.

6 responses to “Kisah Sang Buaya Port Dickson

  1. besar gak buaya tu… nasib baik dah mati…kalau tak…. ada yang kena ngap nanti…

  2. Akhirnya.. terbukti benar buaya di PD